
Perayaan  Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai kalangan masyarakat  kita khususnya di kalangan muda-mudi, sekitar akhir tahun 1980-an  beriringan dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak  mengupas dan menayangkan iklan ataupun filem-filem yang bertemakan  perayaan tersebut.
Perayaan Hari Kekasih semakin dikenali oleh generasi muda kesan dari  budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada media  cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali oleh mereka sebagai  perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang  paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada  mereka yang dicintai atau dikasihi. 
Perayaan ini biasanya diraikan di kafe-kafe, hotel-hotel atau  tempat-tempat yang romantik, yang mana setiap pasangan memberikan hadiah  berupa bungkusan coklat atau bunga yang bertuliskan perkataan ‘I wish  you will be my valentine’ kepada orang yang dikasihi. Setelah itu  diadakan pesta-pesta yang diisi dengan hiburan seumpama nyanyian, tarian  dan sebagainya. Ini tidak menghairankan kerana budaya ini sememangnya  diimport dari budaya barat yang bersifat serba boleh dan hedonisme  (menurut hawa nafsu).

Kebelakangan ini, pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai  sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa,  mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan  berpasangpasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan  pesta seks.
Perkara ini pernah dikomen oleh Ku Seman Ku Hussain dalam akhbar Utusan  Malaysia bertarikh 14 November 2000 bertajuk ‘Apa dihairankan dengan  parti buih.’ Beliau mengulas bahawa serbuan yang dibuat oleh pihak  berkuasa ke atas ‘parti buih’ di Bangsar yang diraikan dengan tarian  bogel dan pakaian mandi itu tidak menjadi hairan kerana beberapa tahun  sebelumnya pernah ada penganjur yang ingin mengadakan parti yang serupa  bersempena Hari Kekasih tetapi mendapat tentangan pihak jawatankuasa  Masjid Abu Bakar al-Siddiq, Bangsar.
Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV  yang ditayangkan atas nama ‘Valentine’s Special.’ Di samping itu,  didapati mereka sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah  cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi  merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula  menawarkan pakej-pakej istimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau  Hidangan Makan Malam Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan  untuk menyambut Hari Kekasih.

Bagi merungkaikan isu ini, kita perlu mendalami dan memahami apakah  maksud di sebalik Valentine itu sendiri serta asal-usul ia menjadi  sebuah perayaan? Dari sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau  Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah  keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada  bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud; kuat, aktif, sihat dan  seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology and History of  First Name).
Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang  paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari  Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya  menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270  Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai  kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap  tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan  dinamakan hari Valentine. 
Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari  Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan  menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada  dewa-dewa dan dewidewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya  Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana  pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas  dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam  bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang  pesta berlangsung.

Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St.  Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang  diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja  Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom  banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St.  Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan  pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine  telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga  mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi.  Bagi memperingatinya sebagai symbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan  dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari  memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.
Manakala pendapat ketiga mengatakan Hari Valentine diambil daripada nama  seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu  Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya  adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine  menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal  protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam,  timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang  Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan,  lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St.  Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu  telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat  sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai hari Kekasih untuk  St. Valentine sendiri.

Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine merupakan  perayaan keagamaan yang disambut oleh umat Kristian. Malah sekiranya  kita merujuk kepada kenyataan-kenyataan pihak Kristian pada hari ini,  mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual di dalam  agama Kristian.
Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, Ecumenical  Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di  bawah topik Definition of religious Holy Days (Pengertian Hari-hari Suci  keagamaan), di bawah indeks Saint Valentine’s Day menyebut bahawa:  “Christian celebration of
the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian  believers. St Valentine was a 3rd century martyr. This day is widely  observed in the USA as a secular celebration of love.” Bermaksud :  Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat  Jesus dan di kalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid  abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA  sebagai perayaan cinta di zaman sekular.
Termaktub di dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa  walau dalam apa jua versi berkenaan dengan St. Valentine, kesemua mereka  adalah dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut : At least three  different Saint Valentines, all of them martyrs, are mentioned in the  early martyrologies under date of 14 February. Bermaksud :  Sekurang-kurangnya terdapat tiga orang St. Valentine yang berbeza,  kesemua mereka merupakan syahid, ianya disebut sebagai golongan syahid  yang terawal pada tarikh 14 Februari.
Manakala Britain Broadcasting Company (BBC) News Online Network  melaporkan pada hari Ahad, 14 Februari 1999 bahawa terdapat dakwaan  daripada biarawan di Gereja St. John Duns Scotus di Glasgow, Scotland  bahawa wujudnya tulang Valentine yang syahid, ianya merupakan servis  istimewa hari Valentine pada hujung minggu serta diletakkan di ruang  pameran sebagai pameran umum dengan termaktub di atas kerandanya tulisan  ‘Corpus St. Valentine Martyris’. Dikatakan bahawa mayatnya telah  diletakkan di ruang sayap Gereja St. Francis semenjak berabad lamanya,  dan enam tahun lepas mereka baru sahaja meletakkannya di dalam keranda  kayu di dalam kotak kadbod di atas almari berhampiran rumah gereja.
Dalam pada itu, nama St. Valentine juga sering digunakan oleh  gereja-gereja Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama  tersebut, seumpama St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania,  St. Valentine’s Catholic Church di Peru, Illinois, St. Valentine Church  di Bethel Park, Pennsylvania, St. Valentine Church di Thonstetten,  Moosburg, Munich dan St. Valentine Church di Buffalo, New York.
Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan  salah sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama  Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak  membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain  lebih-lebih dalam soal yang melibatkan aqidah Islam.
Islam sangat prihatin dan sangat menginginkan supaya umatnya mempunyai  identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain.  Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan  akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama  dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh  mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan  peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.;
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah  apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku  sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula  tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan  bagi aku agamaku.” (al-Kafirun ayat 1-6)
Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan  umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal  berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya  yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariah Islam. Hukum  Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan  cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah  s.a.w.;
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dalam hal ini Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS)  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan  menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan dengan  ajaran Islam”. Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal  Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24  November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak  pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai  unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan  maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan  meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

